Padah curang
Biarpun tiada kajian khusus dan angka tepat mengenai peratusan kecurangan yang berlaku antara pasangan dalam perkahwinan, apa yang pasti kes sebegitu kerap berlaku yang menjadi antara punca keretakan sesebuah perkahwinan.
Bahkan, lebih mengejutkan jika dikatakan isu kecurangan lazim berlaku di kalangan golongan profesional dan sudah lama mendirikan rumah tangga serta mempunyai cahaya mata.
Sehubungan itu, timbul persoalan kenapakah kecurangan masih berleluasa dalam perhubungan suami isteri, wanita bujang dan suami orang, isteri dan suami orang serta isteri orang dengan lelaki muda.
Pengasas Hushim Motivator & Caunselor Consultancy, Hushim Salleh, berkata ada pelbagai sebab yang mendorong pasangan, baik suami ataupun isteri, berlaku kecurangan dalam rumah tangga walaupun perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku.
“Faktor paling biasa yang mendorong pasangan berlaku curang ialah usia perkahwinan mereka. Pada peringkat awal perkahwinan mungkin masing-masing cuba untuk memahami antara satu sama lain, tetapi apabila sudah memahami dan ada perasaan jemu, mulalah berlaku perkara tidak diingini.
“Antaranya terbit rasa bosan terhadap pasangan dan kejujuran mula dipinggirkan menyebabkan tiada ketelusan walaupun ketelusan penting dalam perkahwinan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Hushim berkata, tiada sifat telus dalam perhubungan perkahwinan boleh membawa kepada timbulnya keinginan untuk curang kerana masing-masing beranggapan tiada apa yang perlu diperkatakan selain menyembunyikan perkara sebenarnya yang sepatutnya dinyatakan kepada pasangan.
Selain itu, katanya, faktor luaran seperti pergaulan dan kurangnya perhatian yang diberikan pasangan juga tidak dinafikan menjadi pencetus kepada fenomena curang dalam rumah tangga.
“Apabila tiada perhatian, pasangan akan berasa kekurangan suatu dalam kehidupan. Merujuk kepada mereka yang bekerja di pejabat, pergaulan seharian dengan teman sekerja kadangkala menjadikan mereka berpotensi untuk curang kerana mendapat perhatian sewajarnya di luar rumah. Itu belum lagi dikira mengenai tugasan di luar daerah bersama rakan sekerja.
“Kalau di rumah suami atau isteri jarang memuji pasangan, tetapi di pejabat keadaan menjadi berbeza apabila ada rakan sekerja memuji atau menunjukkan perhatian lebih terhadap mereka yang kurang mendapat perhatian ini. Akibatnya berlaku perhubungan yang mungkin pada mulanya sekadar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.
Bertolak daripada SMS, sering kali perhubungan berkenaan akan berjalan lebih jauh seperti menghubungi antara satu sama lain dan diikuti pertemuan di luar untuk tujuan menjamu selera.
“Dalam fasa ini, mereka yang melakukannya boleh diistilahkan sebagai membina repo dalam perhubungan. Keadaan menjadi lebih teruk apabila suami terlepas pandang mengenai perlakuan isteri dan berlakulah perbuatan curang yang sudah terang salah dan berdosa itu.
“Ada juga kes kecurangan berlaku disebabkan pasangan tidak mendapat kepuasan dalam perhubungan kelamin. Jadi, apabila ada yang menawarkannya secara suka sama suka, ia akan berlangsung seperti dikehendaki dan rosaklah ikatan sesebuah perkahwinan apabila terjadi zina,” katanya.
Hushim berkata, kecurangan boleh terjadi dalam pelbagai bentuk memandangkan kemudahan teknologi tersedia dengan mudah sekali gus memberi laluan selesa kepada individu untuk meneruskan perhubungan tanpa diketahui pasangan masing-masing.
Begitu pun, katanya, tidak adil untuk menyalahkan teknologi, tetapi itulah yang berlaku dalam masyarakat terutama apabila memperkatakan mengenai curang.
“Dengan adanya perkhidmatan pesanan ringkas melalui telefon bimbit, facebook, twitter dan pelbagai lagi, perhubungan menjadi mudah dan ringkas bahkan perbualan di laman jaring juga mendorong individu berlaku curang terhadap pasangan,” katanya.
Memperincikan lebih lanjut mengenai curang, Hushim mengkategorikan kecurangan dalam bentuk perbualan telefon berlaku sebanyak 60 peratus, manakala keluar untuk minum (30 peratus) dan berakhir di bilik tidur pula sebanyak 10 peratus.
Pegangan agama yang semakin tipis juga menjadikan individu semakin tidak mengambil kisah mengenai perkara negatif dalam kehidupan lebih-lebih lagi dalam perhubungan rumah tangga menyebabkan wujudnya fahaman kalau suami boleh melakukannya, isteri juga apa kurangnya.
“Mungkin 10 atau 20 tahun sebelum ini kita jarang mendengar mengenai kecurangan dalam rumah tangga kerana si isteri tidak akan sekali-kali melakukan kecurangan kerana mereka takut kepada hukum Tuhan.
“Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat kini seakan menerima saja kenyataan suami keluar ikut pintu hadapan, isteri keluar melalui pintu belakang yang mana ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Justeru, perkara ini tidak wajar menjalar di dalam sesebuah perkahwinan kerana ia akan menjadi barah kepada perhubungan suami isteri. Tujuan asal perkahwinan adalah untuk mengelakkan dosa terutama zina, selain mendapatkan zuriat yang bakal menjadi pewaris kepada keturunan manusia yang mulia.
Bagaimana mengelakkan pasangan curang
* Saling mempercayai antara satu sama lain.
* Sentiasa mengadakan perbincangan sekiranya ada soal berbangkit.
* Kembali kepada agama kerana apabila pegangan kepada agama kukuh, pasangan akan mengetahui dosa pahala serta takut untuk melakukan kecurangan yang mendorong kepada dosa lain.
* Menghargai pasangan masing-masing.
* Jangan abaikan pasangan anda.
* Hadiri sesi kaunseling bagi mengenalpasti kekurangan yang mungkin boleh dan perlu diperbaiki dalam rumah tangga,
Bagaimana mengesan kecurangan?
* Pasangan kurang berkomunikasi.
* Pasangan lebih senang melakukan hal bersendirian.
* Masalah kewangan mungkin wujud kerana pasangan anda mungkin banyak berbelanja untuk perhubungan curang yang dilakukan.
* Pasangan anda cenderung pulang lewat ke rumah.
* Sentiasa sembunyikan telefon bimbit.
5 comments:
curang? curang didorong oleh nafsu. nafsu yg membuak-buak.
Terkadang Curang menjadikan seorang manusia terlalu pelik
curang ialah perbuatan manusia yg tak bertanggungjawab.. boleh menjejaskn moral.
Curang memang didalangi oleh nafsu, bukannya iman, dan dibelakangnya adalah...
Seseorang yang beriman tidak akan melakukan kecurangan terhadap sesiapapun, walau dalam apa konteks hubungan sekalipun.
Post a Comment